Membantu Anak Sindrom Down
MENGAJAR
anak yang mengalami masalah genetik Sindrom Down cara bagaimana
mengembangkan kebolehan serta kepandaian sosial mereka bukanlah sesuatu
yang mudah.
Tetapi bagi pakar terapi dan jurupulih anggota di
Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC)di Petaling Jaya,
semuanya dilakukan secara 'ikhlas dari jiwa'.
KDSF-NC mempunyai
empat juruterapi yang bertugas untuk mengajar dan mengembangkan
kebolehan sosial anak-anak Sindrom Down serta perkembangan pertuturan
mereka.
Dua daripada juruterapi ini adalah warga Filipina manakala dua lagi dari Malaysia.
Apa yang mendorong mereka memilih untuk bertugas bersama anak-anak istimewa?
MULA DENGAN INGIN AMBIL TAHU
"Ianya
bermula dari sikap ingin ambil tahu. Saya mahu belajar bagaimana badan
manusia berfungsi luar dan dalam", menurut juruterapi Hazel Joy D.
Sablay, 26 tahun. Beliau, yang lebih selesa dikenali sebagai Joy,
berasal dari Manila, Filipina.
"Kanak-kanak adalah cantik dan
comel. Saya menyayangi kesucian yang ada dalam diri mereka yang membuat
mereka jujur dalam segala perbuatan yang dipamerkan dan pada apa
perkataan yang mereka tuturkan.
"Tetapi apa yang membuatkan saya
amat menyayangi anak keperluan istimewa ialah kekuatan mereka yang
memberikan inspirasi kepada kita walaupun mereka berada dalam keadaan
yang sukar.
"Sebagai juruterapi, adalah satu hadiah buat saya
melihat anak-anak ini membesar dan dapat membantu mereka mengembangkan
kebolehan yang mereka ada walaupun dengan keadaan mereka yang sukar dan
terhad".
Bagi Joy, bertugas bersama anak-anak istimewa merupakan satu proses mengajar dan diajar.
"Mereka
belajar daripada saya dan saya juga belajar daripada mereka. Mereka
memberi inspirasi kepada saya dan saya percaya dalam sebahagian daripada
hidup mereka, saya juga merupakan inspirasi bagi mereka", kata beliau.
DARI JIWA
Menurut
Joy, adalah penting untuk mengetahui bahawa mengajar anak Sindrom Down
bukan sahaja berlandaskan pengalaman dan kepandaian tetapi ianya harus
dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.
"Jika kita mempunyai
semangat untuk membantu mereka, semuanya akan turut tercatur dengan
baik. Mempunyai hati dan perasaan yang jujur adalah kunci untuk menjadi
pengajar, penjaga atau juruterapi anak istimewa secara efektif".
Joy
percaya terapi fizikal atau fisioterapi adalah pilihan baik bagi
pesakit yang mempunyai kekurangan upaya dalam sistem badan seperti otot,
tulang, sensori, neurologi, peredaran darah serta pernafasan.
"Saya
bersyukur kerana dapat bekerja bersama dengan anak keperluan khas
walaupun ada mereka yang bertugas sebagai penjaga kesihatan profesional
yang enggan dan turut menjauhi anak-anak ini", kata beliau.
Walaupun
dilahirkan di Manila, Joy membesar di Isabela, kawasan utara Filipina.
Pada tahun 2005, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Terapi Fizikal dan
mendapat lesen profesional di bidang tersebut pada tahun yang sama.
Sebelum
beliau mula bertugas di KDSF-NC pada Mei 2008, Joy bekerja di sebuah
hospital di Filipina selama tiga tahun dan telah melibatkan diri dengan
ramai pesakit yang terdiri daripada golongan pediatrik dan geriatrik.
"Pada
masa yang sama saya juga merawat pesakit di rumah seperti mereka yang
mengalami masalah saraf dan otot serta anak istimewa antaranya Sindrom
Down", tambah beliau.
TERAPI CARA KERJA
Kenapa pilih juruterapi sebagai kerjaya? Itulah soalan yang diajukan terhadap Junaleth 'June' Dalupang Chiong.
"Ianya
bukanlah pilihan pertama saya. Tetapi ketika saya belajar, saya rasa
terpanggil membantu mereka yang memerlukan dan ketika itulah saya mula
memperkembangkan kebolehan saya dalam aspek ini", kata June yang berasal
dari Makati, Filipina.
"Sebelum datang ke Malaysia, saya
mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai juruterapi cara
kerja di Filipina. Saya biasa dengan anak-anak istimewa bukan sahaja
Sindrom Down tetapi juga autisme, cerebral palsy, masalah pembelajaran
dan cacat akal", kata June yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains
Terapi Cara Kerja.
Beliau juga merupakan juruterapi berlesen.
Bagi anak-anak Sindrom Down, June mempunyai pandangan sebegini:
"Membantu
mereka merupakan satu cabaran kerana bukan semua yang dapat
menyesuaikan diri bersama anak-anak ini. Anak-anak ini dianggap istimewa
bukan kerana masalah yang mereka hadapi tetapi mereka boleh beri
kelainan terhadap hidup anda dalam keadaan yang amat istimewa".
Bagi
June, anak-anak istimewa membantu membina sifar pengajar mereka kerana
ianya bukan sesuatu yang mudah mengajar anak-anak sebegini dengan penuh
kasih sayang, kesabaran serta kefahaman.
"Saya tidak pernah
menyesal berkhidmat untuk anak-anak istimewa kerana ianya memberi satu
kepuasan bila melihat mereka berupaya mencapai kemajuan", tambah beliau.
ANAK ISTIMEWA JUGA MEMPUNYAI HAK
Bagi
Ida Yasmine Ahmad, 27, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, anak-anak
istimewa mempunyai hak sama seperti anak yang lain. Mereka juga
mempunyai persamaan dari segi imaginasi, pemikiran, emosi serta reaksi
dan tindakan.
"Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, anak-anak
ini telah mencipta dengan sendiri daya mereka yang unik dalam menyatakan
sesuatu dan ini memang sesuatu yang amat dan tidak pernah gagal
menakjubkan saya.
"Apa yang kita anggap hanya sebagai kebolehan
yang agak remeh, tetapi bagi anak istimewa di mana sesuatu itu kelihatan
begitu sukar pada mulanya dan bila mereka berjaya melakukannya, ia
seperti satu perkara yang amat besar telah dicapai.
"Dan situasi
sebegini memang menakjubkan. Walaupun saya mungkin dianggap cuba
membesarkan senario ini, tetapi itulah satu fakta dan perkara yang
sebenarnya", kata Ida Yasmine yang merupakan graduan Kolej Universiti
MAHSA pada tahun 2009.
Bagi beliau, anak-anak istimewa mungkin
lain dari anak normal tetapi tetap mempunyai hak yang sama untuk
bermain, belajar serta disayangi oleh semua.
Sumber : Petikan daripada Mstar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan